UNTUK SIARAN SEGERA
- Jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa adalah lebih tinggi berbanding jumlah pengunjung kediaman untuk dijual di iProperty.com.my pada 2020.
- Permintaan hartanah kediaman sewa di seluruh negara pada 2020 merosot -12.6%, kebanyakannya disebabkan oleh peningkatan senarai hartanah kediaman sewa mengatasi jumlah pengunjung di kalangan penyewa.
Klik sini untuk muaturun gambar.
KUALA LUMPUR, 30 MAC 2021 — iProperty.com.my, portal hartanah Nombor 1 di Malaysia, hari ini mengumumkan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Hartanah Sewa) 2020, yang memberikan gambaran menyeluruh mengenai permintaan terhadap hartanah kediaman sewa menggunakan jumlah kunjungan pengguna iProperty.com.my dan data penyenaraian hartanah untuk hartanah kediaman di Malaysia yang tertumpu kepada Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor. Analisis sewaan tersebut merangkumi empat jenis hartanah iaitu rumah teres, kondominium, pangsapuri dan apartmen servis.
Hasil analisis tersebut menunjukkan bahawa kebanyakan rakyat Malaysia lebih cenderung untuk menyewa kerana impak COVID-19. Jumlah pengguna yang berkunjung ke iProperty.com.my pasca pandemik ini semakin meningkat memandangkan ramai beralih kepada platform digital untuk mencari hartanah. Pada Februari 2021, iProperty.com.my merekodkan jumlah pengunjung bulanan paling tinggi iaitu 10 juta pengunjungi. Selain daripada mencatatkan pertambahan kunjungan tahun ke tahun sebanyak +51%ii, iProperty.com.my turut menyaksikan peningkatan jumlah pertanyaan mengenai hartanah menerusi platformnya sebanyak +20.4%iii pada Februari 2021 apabila dibandingkan dengan tahun lalu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan.
Peningkatan Penyenaraian Hartanah Kediaman Sewa mempengaruhi Angka Permintaan Kediaman Sewa Negara
Jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa ke iProperty.com.my telah meningkat memandangkan ramai pengguna memilih untuk menyewa kerana ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik COVID-19. Walaupun jumlah pengunjung hartanah kediaman sewa telah bertambah, namun peningkatan penyenaraian hartanah kediaman sewa telah mengatasinya, menyebabkan angka permintaan kediaman sewa negara merosot hingga -12.6%. Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada tahap +3.3% berbanding +3.4% pada separuh pertama 2020. Median harga sewaan bagi kondominium berada pada RM1,800 berbanding RM1,900 separuh pertama 2020, manakala bagi apartmen servis pula, median harga sewaan berada pada RM1,600 berbanding RM1,700 separuh pertama 2020.
Penyewa Mencari Unit yang Luas di Kuala Lumpur
Permintaan terhadap hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur berada pada tahap -7.7% tahun ke tahun untuk semua jenis hartanah. Salah satu punca penyusutan ini adalah pengurangan permintaan sewa untuk segmen pangsapuri yang disebabkan oleh kehilangan pekerjaan di ibu negara. Secara keseluruhannya, hasil sewaan untuk rumah teres berada pada 3% berbanding 3.2% separuh pertama 2020, manakala kondominium berada pada 4.1% berbanding 4.3% separuh pertama 2020. Median harga sewaan untuk apartmen servis, yang berada pada RM2,300 separuh pertama 2020, turun kepada RM2,000 menjelang hujung 2020. Para pengunjung hartanah kediaman sewa di Kuala Lumpur lebih cenderung untuk mencari rumah teres empat bilik bersaiz antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi serta kondominium bersaiz antara 1,000 hingga 1,250 kaki persegi, atau sebuah unit dengan minimum tiga bilik berharga bawah RM2,300.
Kawasan Pinggir Bandar Selangor Kekal Menjadi Pilihan Utama Penyewa
Permintaan terhadap hartanah sewaan di Selangor berada pada tahap -10.3% tahun ke tahun pada 2020 untuk semua jenis bangunan. Walau bagaimanapun, rumah teres mencatatkan peningkatan permintaan sebanyak +2.8% menjadikan Selangor satu-satunya negeri di Malaysia yang menyaksikan pertumbuhan positif pada 2020. Ini disebabkan oleh penghijrahan para penyewa ke kawasan pinggir bandar bagi mencari kediaman yang lebih luas di kawasan seperti Bangi, Rawang, Kajang dan Cyberjaya. Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,200 hingga RM2,000 dengan saiz di antara 1,500 hingga 2,500 kaki persegi. Ulu Klang adalah kawasan di Selangor dengan kadar pertumbuhan permintaan tertinggi, iaitu peningkatan sebanyak +32% tahun ke tahun. Sebilangan besar kunjungan adalah untuk kondominium berharga bawah RM2,000 dan bersaiz di antara 1,250 hingga 1,500 kaki persegi.
Kemasukan Baru, Sungai Dua muncul Sebagai Kawasan Sewaan dengan Permintaan Tertinggi di Pulau Pinang
Angka permintaan sewaan bagi Pulau Pinang pada 2020 berada pada tahap -18.3%. Sebagai sebuah negeri yang mengfokuskan sektor pelancongan, ekonomi Pulau Pinang telah terjejas akibat COVID-19 walaupun situasi tersebut beransur pulih semasa musim cuti hujung tahun, yang memberikan sedikit kelegaan kepada industri perhotelan dan penginapan jangka pendek. Salah satu dapatan positif adalah permintaan sewa berterusan untuk apartmen dan pangsapuri di kawasan-kawasan perindustrian di negeri itu termasuk Sungai Dua, Bayan Baru, Bukit Jambul dan Perai (di tanah besar) di kalangan para pekerja yang mencari kediaman mampu milik. Sungai Dua adalah kawasan paling tinggi permintaan di Pulau Pinang dengan lebih separuh pengunjung berminat dengan pangsapuri di bawah RM1,000. Permintaan terhadap hartanah sewa di Bukit Jambul juga sangat menggalakkan kerana ramai pengunjung yang mencari rumah pangsa berharga bawah RM700 dengan saiz di antara 500 hingga 750 kaki persegi.
Pengerang Muncul Sebagai Kawasan Sewaan Paling Tinggi Permintaan di Johor
Sebagai negeri yang memiliki jumlah hartanah tidak terjual paling tinggi di Malaysia, pasaran hartanah kediaman sewa Johor kekal perlahan memandangkan ada banyak unit baru siap dibina yang tidak terjual, menyebabkan penyusutan kadar permintaan sebanyak -27.8% tahun ke tahun bagi semua jenis bangunan. Selain daripada itu, penutupan sempadan Singapura dan Malaysia telah menjejaskan pasaran sewaan di Johor Bahru. Namun begitu, projek Sistem Transit Rapid (RTS) yang dijangka siap pada 2026 dilihat mampu meningkatkan semula permintaan hartanah kediaman sewa di Johor. Bandar industri Pengerang menjadi salah satu kawasan paling tinggi permintaan di Johor kerana peranannya sebagai hab minyak dan gas di selatan semenanjung Malaysia. Ramai pengunjung yang mencari rumah teres dua tingkat berharga di antara RM1,400 hingga RM1,700 dengan saiz binaan di antara 1,500 hingga 2,000 kaki persegi.
Mengulas mengenai penerbitan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewaan) 2020 iProperty.com.my, Pengurus Besar iProperty.com.my, Shylendra Nathan berkata, “2020 merupakan tahun yang lebih memihak kepada penyewa berbanding pemilik hartanah. Kemasukan projek-projek yang telah siap dibina baru ke dalam pasaran yang sememangnya padat telah memaksa pemilik hartanah untuk mengurangkan kadar sewa mereka bagi bersaing menarik perhatian penyewa. Justeru, para penyewa kini berada dalam kedudukan yang lebih baik untuk merundingkan harga dan keadaan ini dapat dilihat daripada sedikit penurunan median harga sewaan dan hasil sewaan. Walaupun Kadar Dasar Semalaman (OPR) rendah telah mengurangkan ansuran pinjaman bulanan untuk para pemilik hartanah, namun penurunan pendapatan sewa yang lebih besar ketika ini telah mengimbangi kelebihan kos pembiayaan yang lebih rendah.”
“Namun begitu, program vaksinasi yang sedang berjalan sekarang akan memberikan kelegaan yang diperlukan oleh pasaran hartanah tempatan. Walaupun tempoh pemulihan tidaklah sepantas yang dijangkakan, ianya tetap mendorong pemulihan pasaran hartanah pada separuh pertama 2021. Negara kita sedang memulakan perjalanan ke arah mencapai imuniti berkelompok, kami menjangkakan keyakinan para pengguna terhadap pasaran hartanah akan kembali meningkat kerana program imunisasi tersebut.”
Anda boleh memuat turun salinan Analisis Permintaan Portal (Pasaran Sewa) 2020 iProperty.com.my di sini.
-tamat-
Mengenai REA Group & iProperty.com.my
REA Group di Asia mengendalikan laman web, pemasaran dan acara harta tanah digital yang menawarkan set perkhidmatan hartanah dan pemasaran projek paling komprehensif di Asia Tenggara termasuk di Malaysia (iProperty.com.my), Thailand (thinkofliving.com dan Prakard) serta seluruh wilayah China termasuk Tanah Besar China (myfun.com) dan Hong Kong (squarefoot.com.hk dan SMARTExpo).
Berpangkalan di Australia, REA Group merupakan sebuah firma pengiklanan digital multinasional yang mengkhusus kepada hartanah. Disenaraikan di Bursa Saham Australia (ASX:REA), kami mengendalikan laman web hartanah kediaman, komersil dan saham terkemuka di Australia iaitu realestate.com.au, realcommercial.com.au dan flatmates.com.au. REA Group juga merupakan rakan kongsi utama 99 Group yang mengendalikan perniagaan 99.co dan iProperty.com.sg di Singapura serta rumah123.com di Indonesia. REA Group juga memiliki pegangan saham besar dalam Move, Inc menerusi realtor.com di Amerika Utara dan Elara Technologies menerusi proptiger.com, maakan.com dan housing.com di India.
iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. iProperty.com.my merupakan portal hartanah No. 1 di Malaysia yang menawarkan carian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi.
Untuk berita berkaitan REA Group dan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan trend hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.
___________________
i Menurut Google Analytics, Februari 2021
ii Menurut Google Analytics, September 2020 – Februari 2021
iii Menurut Google Analytics, Februari 2021 vs Februari 2020