UNTUK SIARAN SEGERA
- Kebanyakan kondominium dan apartmen servis terletak berhampiran alam semula jadi dengan persekitaran yang damai.
- Beberapa hartanah menampilkan landskap taman yang direka dengan baik serta persekitaran gaya resort.
- Penyelenggaraan hartanah jangka panjang yang baik merupakan faktor utama dalam pertumbuhan modal.
KUALA LUMPUR, 23 JULAI 2023 – iProperty.com.my telah mengumumkan hartanah kediaman bertingkat tinggi dengan peningkatan modal tertinggi pada 2022 berbanding 2012. Hartanah di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor ini mengalami pertumbuhan jangka panjang positif disebabkan oleh lokasi penggerak pertama mereka, ketersambungan, ciri berketumpatan rendah dan ciri penyelenggaraan hartanah yang hebat. Projek-projek ini memberikan gambaran tentang daya maju membeli hartanah bertingkat tinggi yang lebih berusia untuk pembeli rumah dan pelabur. Data diperoleh daripada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) dan dianalisa oleh PropertyGuru DataSense, cabang data, analitik dan penyelesaian Kumpulan PropertyGuru.
Jangka masa 10 tahun telah dipilih kerana ia selaras dengan tempoh biasa kitaran ekonomi yang boleh berlangsung sehingga satu dekad. Tempoh ini membolehkan iProperty.com.my menganalisis hartanah yang telah mengalami empat fasa penting dalam kitaran ekonomi – pertumbuhan, puncak, kemelesetan, dan kemurungan. Melalui proses ini, senarai ini mempamerkan hartanah yang telah menunjukkan ketahanan dari semasa ke semasa dan mengalami peningkatan modal yang stabil.
Sheldon Fernandez, Pengurus Negara, PropertyGuru Malaysia (PropertyGuru.com.my dan iProperty.com.my), berkata, “Selain terletak di lokasi yang strategik, hartanah dengan peningkatan modal baik mempunyai beberapa persamaan. Kebanyakan projek merupakan kondominium berusia beberapa dekad yang dikelilingi oleh kehijauan, dengan sesetengahnya terletak di kawasan tinggi. Selain itu, hartanah berketumpatan rendah tersebut menampilkan landskap yang direka dengan baik berkonsepkan gaya taman atau resort, memberikan pengalaman hidup yang tenteram. Satu lagi elemen penting ialah hartanah tersebut diselenggara dengan baik oleh pengurusan masing-masing. Ini jelas menunjukkan bahawa nilai jangka panjang sebuah hartanah bukan hanya bergantung pada seni bina dan kemudahan yang pelbagai, tetapi pada cara ia diselenggara selama bertahun-tahun.”
Di bawah ialah senarai hartanah kediaman bertingkat tinggi di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang dengan peningkatan modal tertinggi pada 2022 berbanding 2012:
Hartanah bertingkat tinggi terbaik di Kuala Lumpur – Hartanah gaya resort yang diselenggara baik menarik minat pemilik rumah.
HARTANAH | MEDIAN KPS PADA 2012 (RM) | MEDIAN KPS PADA 2022 (RM) | PENINGKATAN MODAL (%) |
Jamnah View Condominium,
Bukit Damansara |
738 | 1,435 | 94.4 |
Antah Tower,
Jalan Kuching |
252 | 472 | 87.3 |
Le Chateau 2,
Seputeh |
192 | 346 | 80.2 |
Villa OUG Condominum, Taman Yarl,
Jalan Klang Lama |
264 | 447 | 69.3 |
Bukit Winner,
Taman Desa Petaling |
180 | 285 | 58.3 |
Dua hartanah di Kuala Lumpur, Jamnah View (94.4%) dan Villa OUG (69.3%), terkenal dengan persekitaran gaya resort mereka dengan kawasan landskap yang luas, pokok palma teduh mewah, dan kemudahan yang serupa dengan pusat peranginan. Lokasi strategik mereka juga memberi penduduk akses ke jalan utama, lebuh raya dan beberapa stesyen MRT untuk memudahkan penduduk berulang-alik ke tarikan utama di tengah bandar. Satu lagi faktor penyumbang kepada pertumbuhan modal jangka panjang kedua-dua hartanah ini ialah ia diselenggara dengan baik oleh jawatankuasa pengurusan masing-masing. Jamnah View yang berusia 30 tahun khususnya, telah menjalani pengubahsuaian besar-besaran tahun lepas, menampilkan wajah baru yang segar.
Selain daripada kemudahan dan lokasi yang selesa, ramai penduduk bandar cenderung mencari hartanah dalam persekitaran yang tenang. Kedua-dua Le Chateau 2 dan Bukit Winner menampilkan kehijauan yang subur menyelubungi persekitarannya dengan Le Chateau 2 menghadap ke kawasan hutan yang belum dibangunkan. Sementara itu, Antah Tower menawarkan persekitaran hidup yang tenang di tengah-tengah bandar raya. Walaupun dibina pada tahun 90-an, ia mempunyai kemudahan yang setara dengan kondominium kontemporari dan menyediakan harga mampu milik sekitar RM400,000, menjadikannya sesuai untuk keluarga bandar kecil dan sederhana.
Hartanah bertingkat tinggi terbaik di Selangor – Hartanah pinggir bandar lama berhampiran hutan simpan kekal menark perhatian.
HARTANAH | MEDIAN KPS PADA 2012 (RM) | MEDIAN KPS PADA 2022 (RM) | PENINGKATAN MODAL (%) |
Villaria, Bukit Antarabangsa,
Ampang |
127 | 270 | 112.60 |
Regency Condominium,
Klang |
136 | 271 | 99.30 |
Casa Mila Tower,
Selayang |
186 | 334 | 79.60 |
Menara Indah,
Ampang |
216 | 361 | 67.10 |
Sri Permata,
Shah Alam |
204 | 329 | 61.30 |
Hartanah bertingkat tinggi di Selangor yang dikelilingi atau berdekatan dengan alam semula jadi telah mendapat sambutan baik pada dekad yang lalu. Dua kondominium berhampiran Hutan Simpan Ampang, Villaria (112.60%) dan Menara Indah (67.10%) telah menarik minat penduduk bandar yang lebih suka kepada persekitaran hidup hijau, unit luas dan kemudahan kontemporari. Kedua-dua bangunan ini mungkin sedikit berusia, namun penyenaraian dalam talian mereka menggambarkan kediaman yang telah diubah suai dengan baik dan selesa, menjadikannya sesuai untuk pemilik rumah yang mengutamakan persekitaran yang kondusif.
Casa Mila Tower (79.60%), ialah sebuah lagi kondominium gaya resort yang berlatarbelakangkan Hutan Negara Hutan Lipur Bukit Lagong, memberikan penduduknya keistimewaan eksklusif untuk menikmati pemandangan tenang dan persekitaran yang berangin. Walaupun dibina pada tahun 1991, hartanah lereng bukit ini menawarkan landskap yang indah, persekitaran yang damai dan kemudahan moden, justeru memberi peluang kepada pelabur untuk membeli dan membaik pulih unit lama untuk menarik bakal pemilik atau penyewa rumah. Sementara itu, Regency Condominium (99.30%) dan Sri Permata (61.30%) menawarkan julat harga yang sangat menarik, akses mudah kepada kemudahan, sambungan terus ke lebuh raya utama dan pelbagai pilihan susun atur untuk pembeli dan penyewa rumah.
Hartanah bertingkat tinggi terbaik di Pulau Pinang – Kedekatan ke laut mendorong peningkatan modal di pulau itu.
HARTANAH | MEDIAN KPS PADA 2012 (RM) | MEDIAN KPS PADA 2022 (RM) | PENINGKATAN MODAL (%) |
Arena Residence @ The Arena,
Bayan Baru |
327 | 529 | 61.80 |
Desa Golf,
Bukit Jambul |
349 | 524 | 50.1 |
Seaview Garden, Mount Pleasure,
Batu Ferringhi |
255 | 381 | 49.4 |
SkyHome,
Tanjong Tokong |
397 | 593 | 49.4 |
Central Park, Green Lane,
Bukit Lanchang |
331 | 492 | 48.6 |
Sebagai satu destinasi pelancongan, Pulau Pinang menawarkan hartanah yang menyediakan akses kepada tawaran alam semula jadi negeri tersebut – pantai dan landskap hijau yang luas. Hartanah seperti Desa Golf (50.1%), Seaview Garden (49.4%) dan SkyHome (49.4%) terletak berhampiran pantai yang indah ini membolehkan penduduk menikmati suasana yang tenang dan santai. Desa Golf menawarkan pemandangan Padang Golf Pulau Pinang yang menawan, manakala Seaview Garden terletak di antara bukit menghijau, Mount Pleasure yang menghadap ke pantai Pulau Pinang yang indah. Sementara itu, SkyHome mempunyai lobi yang direka khas dengan akses terus ke pantai.
Hartanah lain, seperti Arena Residence (61.80%) dan Central Park (48.6%), mempunyai akses yang sesuai ke destinasi utama negeri, jalan utama, tempat rekreasi, kedai-kedai, fasiliti dan pasar tempatan. Kedai makan dan kedai ‘gaya hidup’ mengelilingi Arena Residence dan ia berada dalam jarak jalan kaki dari stadium indoor yang besar dan pusat konvensyen bersepadu. Lokasi strategiknya memberi manfaat kepada pelabur yang merancang untuk menarik minat penyewa yang mencari penginapan jangka pendek. Central Park terletak di antara Georgetown dan Jambatan Pulau Pinang, menjadikannya satu pilihan yang baik untuk pelabur yang ingin menarik pembeli dan penyewa di lokasi pusat ini. Tambahan pula, projek itu berdekatan dengan kemudahan utama seperti hospital dan kompleks pasar basah. Sebagai hartanah yang agak baru disiapkan pada tahun 2011, Central Park adalah pilihan popular di kalangan pembeli rumah yang berkeluarga.
Hartanah bertingkat tinggi terbaik di Johor – Lokasi utama dan faktor ketersambungan meningkatkan nilai hartanah jangka panjang.
HARTANAH | MEDIAN KPS PADA 2012 (RM) | MEDIAN KPS PADA 2022 (RM) | PENINGKATAN MODAL (%) |
Octville Condominium,
Masai |
56 | 244 | 335.7 |
Jentayu Residensi,
Tampoi |
274 | 383 | 39.8 |
Pelita Indah, Johor
Bahru |
144 | 201 | 39.6 |
Akademik Suite,
Tebrau |
254 | 337 | 32.7 |
Datin Halimah,
Tampoi |
220 | 276 | 25.5 |
Hartanah tertentu di Johor Bahru menawarkan pelbagai kemudahan, akses mudah ke jalan-jalan utama, dan pelbagai fasiliti yang memenuhi pilihan yang berbeza. Octville Condominium (335.7%) ialah hartanah ala resort di kawasan perbandaran Bandar Baru Seri Alam yang mapan. Kebanyakan unitnya telah diubah suai baru-baru ini dan dilengkapi dengan ciri-ciri moden — menampilkan potensi untuk pembeli rumah dan pelabur. Octville Condominium juga mampu menarik lebih ramai penyewa yang bekerja di universiti awam berhampiran. Sementara itu, Jentayu Residensi (39.8%) merupakan pembangunan yang agak baharu dengan unit yang diselenggara dengan baik dan berperabut lengkap. Projek ini memenuhi keperluan isi rumah berpendapatan sederhana kerana lokasinya berhampiran dua kawasan kejiranan yang mapan, Bandar Uda Baru dan Larkin, dan ia boleh diakses melalui laluan Kedua Malaysia-Singapura dan Jalan Skudai. Akademik Suite (32.7%) ialah projek yang terletak di lokasi utama yang lain, Taman Mount Austin, yang menikmati jarak dekat dengan taman hiburan bertemakan air dan pusat konvensyen. Ini telah meletakkan kediaman perkhidmatan ini sebagai penginapan jangka pendek pilihan untuk pengunjung dan pengembara.
Dua hartanah berhampiran sempadan Johor-Singapura, Pelita Indah (39.6%) dan Datin Halimah Condominium (25.5%) juga meningkat dengan baik sejak sedekad lalu. Pelita Indah terletak 10 minit dari Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) dan 3.2 km dari Sistem Transit Rapid (RTS) yang akan datang. Datin Halimah Condominium terletak hanya 10 minit dari laluan kedua Malaysia-Singapura dan berhampiran stesen KTM dan Larkin Sentral. Walaupun telah siap pada tahun 1999, projek ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduknya kerana penyelenggaraan yang sangat baik. Tambahan pula, terdapat rancangan oleh jawatankuasa pengurusan untuk membaik pulih premis bangunan di masa akan datang.
Sheldon menambah, “Penyelenggaraan hartanah yang berkesan adalah penting untuk meningkatkan nilai hartanah. Penyelenggaraan menyeluruh bukan sahaja meningkatkan kebolehhunian tetapi juga memastikan ketahanan bangunan dari semasa ke semasa. Inilah sebabnya mengapa pemilik rumah strata harus sedar akan tugas dan tanggungjawab mereka. Dengan menghadiri mesyuarat agung tahunan secara aktif dan melantik ahli jawatankuasa pengurusan yang berwibawa, pemilik rumah boleh mempengaruhi hala tuju dan keberkesanan penyelenggaraan hartanah. Tahap penglibatan ini memastikan kediaman bertingkat mendapat perhatian dan kepakaran yang diperlukan untuk penyelenggaraannya, menghasilkan hartanah yang diselenggara dengan baik dan menarik.
NOTA KAKI:
- Pertumbuhan modal dikira sebagai = Median KPS pada 2022 – Median KPS pada 2012 / Median KPS pada 2012. Median Sekaki Persegi (KPS) digunakan untuk mengira pertumbuhan modal disebabkan oleh pelbagai saiz terbina yang diurusniagakan.
- Sistem data daripada JPPH secara rasmi merekodkan transaksi hartanah di Malaysia sebaik sahaja duti setem untuk Perjanjian Jual Beli dibayar. Analitik adalah berdasarkan data yang tersedia pada tarikh penerbitan dan mungkin tertakluk pada semakan apabila lebih banyak data tersedia.
* * *
Mengenai iProperty.com.my
iProperty.com.my adalah peneraju pasaran hartanah di Malaysia dan menawarkan gambaran hartanah yang lengkap bagi pencari dalam perjalanan pembelian, penyewaan, penjualan dan pelaburan hartanah mereka. Syarikat ini menawarkan pengalaman carian dalam kedua-dua bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia dan menyediakan penyelesaian pengguna yang mendalam seperti Bahagian Transaksi – yang menawarkan data transaksi sub-jualan terkini dan paling tepat dan LoanCare – penunjuk kelayakan pinjaman rumah. Syarikat juga komited untuk membangunkan alat Proptech yang inovatif dan cerapan dipacu data seperti iProperty PRO, Hab Pelanggan dan Perkhidmatan Pemasaran untuk menyokong rakan kongsi, pembangun hartanah dan ejen kami, dalam mengembangkan perniagaan mereka. Syarikat ini adalah sebahagian daripada Kumpulan PropertyGuru (NYSE: PGRU), syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara.
Untuk maklumat lanjut, layari www.iproperty.com.my dan www.PropertyGuruGroup.com atau laman social media kami di Facebook, Instagram dan LinkedIn.
Jurucakap kami tersedia untuk ditemuduga dan anda boleh menghubungi pasukan komunikasi kami di sini.