Untuk Siaran Segera
- Pandemik COVID-19 mendorong peralihan kaedah pencarian hartanah daripada luar talian kepada atas talian.
- Minat terhadap rumah teres kekal tinggi dengan +29% peningkatan permintaan tahun ke tahun dan +1.6% harga permintaan.
- Permintaan tahun ke tahun untuk rumah bangunan tinggi turut meningkat sedikit pada +5%. Walau bagaimanapun, harga permintaan telah merosot disebabkan oleh kebanyakan penjual menetapkan harga rendah bagi menarik minat para pembeli.
Klik sini untuk muat turun gambar
KUALA LUMPUR, 24 OGOS 2021 — iProperty.com.my hari ini mendedahkan bahawa permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di Malaysia mengalami pertumbuhan positif pada separuh pertama 2021, peningkatan sebanyak +19.2% berbanding -2.5% pada separuh pertama 2020. Kedua-dua kunjungan dan bekalan penyenaraian hartanah yang unik di dalam iProperty.com.my, yang terdiri daripada rumah teres, kondominium, kediaman dan pangsapuri perkhidmatan, telah meningkat pada separuh pertama 2021 dengan jumlah kunjungan melebihi peningkatan bekalan penyenaraian.
Pengumuman itu dibuat semasa pembentangan secara maya tahunan Analisis Permintaan Portal Pasaran Kediaman Sekunder Separuh Pertama 2021 oleh iProperty.com.my, yang memaparkan data permintaan utama serta pandangan mengenai pasaran hartanah sekunder di Malaysia. Edisi tahun ini menjejaki harga permintaan hartanah kediaman sekunder di dalam iProperty.com.my, menggantikan harga urus niaga pada edisi sebelumnya. Harga permintaan adalah maklumat yang diberikan oleh penjual hartanah masing-masing dan maklumat ini memberikan pandangan yang lebih baik dari perspektif para penjual.
Pengurus Besar Penyelesaian Data Pelanggan & Kualiti iProperty.com.my, Premendran Pathmanathan ketika mengulas mengenai analisis tersebut berkata, “Sememangnya menggembirakan apabila melihat pemulihan pasaran kediaman sekunder pada separuh pertama 2021. Pandemik COVID-19 tidak mendatangkan kesan yang buruk ke atas segmen ini seperti yang berlaku pada separuh pertama tahun lalu di mana angka permintaan pada ketika itu menjunam hingga ke paras negatif. Salah satu faktor penting yang menyokong pemulihan permintaan pada separuh pertama 2021 ialah para pencari hartanah mulai selesa dengan idea melakukan carian hartanah mereka di dalam talian, di mana selain daripada melayari hartanah di dalam talian, perbincangan susulan dengan ejen hartanah secara maya juga diterima sebagai salah satu normal baharu.”
Lebih-lebih lagi, pelanjutan Kempen Pemilikan Rumah (HOC) sehingga Disember 2021 turut bertindak sebagai motivasi, dengan pelbagai tawaran hartanah HOC memberikan kesan limpahan ke atas segmen kediaman sekunder memandangkan para pencari hartanah yang teliti akan terus melayari rumah sekunder di kawasan yang sama atau kawasan sekitar bagi membandingkan harga hartanah.
Peningkatan permohonan pinjaman rumah dan permintaan positif terhadap semua jenis hartanah
Pertumbuhan permintaan sebanyak dua digit bukan sahaja mencerminkan peningkatan dari segi minat terhadap hartanah. Para pembeli rumah ternyata benar-benar berminat untuk membuat pembelian kerana ramai yang mengambil langkah susulan seperti memohon pinjaman perumahan pada suku pertama 2021. Berdasarkan kepada data permohonan pinjaman bulanan Bank Negara Malaysia, nilai permohonan pinjaman perumahan meningkat +86% tahun ke tahun daripada RM96.4 bilion pada separuh pertama 2020 kepada RM179.4 bilion pada separuh pertama 2021. Nilai pinjaman yang diluluskan juga meningkat +92.6% tahun ke tahun bagi tempoh yang sama. Dengan Kadar Dasar Semalaman (OPR) berada pada paras terendah 1.75%, ramai pengguna mencari tawaran hartanah dalam persekitaran kadar faedah yang rendah.
Minat terhadap rumah teres kekal tinggi di Malaysia dengan peningkatan +29% tahun ke tahun, membolehkan para penjual mengekalkan harga permintaan yang tinggi pada +1.6%. Permintaan terhadap kondominium, pangsapuri dan kediaman perkhidmatan kekal positif walaupun agak rendah, dengan masing-masing mencatatkan peningkatan +5.2%, +11.7%, dan +6.8% tahun ke tahun. Walau bagaimanapun, harga permintaan rumah bangunan tinggi di semua negeri-negeri utama telah merosot akibat jumlah unit tidak terjual yang tinggi dan sebagai salah satu cara untuk penjual menarik minat para pembeli.
Premendran menambah, “Trend kenaikan jumlah permohonan pinjaman perumahan yang diluluskan adalah sangat menggalakkan. Ia menunjukkan bahawa rakyat Malaysia yang berkemampuan dari segi kewangan masih berminat untuk membeli rumah sama ada untuk kediaman mereka sendiri atau sebagai pelaburan. Walau bagaimanapun, di sebalik angka positif ini, bakal pemilik rumah perlu membuat perancangan sebelum komited untuk membuat pinjaman jangka panjang, kerana kadar faedah mungkin tidak akan kekal rendah untuk jangka masa yang lama. Pengembalian kepada kadar faedah pra pandemik akan mengakibatkan pembayaran semula bulanan yang lebih tinggi pada masa depan. Negara kita sedang merancakkan lagi program vaksinasinya dan menuju ke arah mencapai matlamat imuniti kelompok, kami berharap ekonomi dan seterusnya pasaran hartanah akan pulih dalam separuh kedua tahun ini.”
Kawasan mewah di Kuala Lumpur kekal stabil
Kuala Lumpur mencatatkan pertumbuhan +8.1% dari segi permintaan kediaman sekunder, berbanding +0.3% pada separuh pertama 2020. Harga permintaan di kawasan mewah seperti Damansara Heights, Sri Hartamas, Mont Kiara dan Desa Parkcity cenderung untuk meningkat lebih tinggi kerana kawasan ini menjadi tumpuan utama pencari hartanah yang kaya. Walau bagaimanapun, penjual hartanah di bahagian-bahagian lain di ibu kota ini terpaksa mengurangkan harga permintaan mereka, menandakan sedikit kemerosotan kuasa pegangan.
Permintaan terhadap rumah teres di Kuala Lumpur kekal mantap pada +27.1% dengan pertumbuhan harga permintaan sebanyak +2.9%. Bangsar menyaksikan permintaan kukuh terhadap rumah teres berharga di antara RM1.5 juta hingga RM2 juta (1,500 – 2,000 kaki persegi). Keadaan ini berbeza dengan Taman Tun Dr Ismail yang menarik minat para pengunjung yang mencari unit bangunan tinggi berharga di antara RM1 juta hingga RM1.5 juta (1,500 – 2,000 kaki persegi).
Permintaan kekal tinggi untuk kawasan pinggir bandar di Selangor
Permintaan terhadap hartanah kediaman sekunder di Selangor meningkat +17.6% pada separuh pertama 2021, terutamanya didorong oleh peningkatan permintaan terhadap rumah teres sebanyak +20.7% tahun ke tahun (+3.5% harga permintaan). Kawasan pinggir bandar di negeri itu kekal menjadi pilihan utama memandangkan trend bekerja dari rumah dijangka akan berterusan dan para pengguna tertarik dengan harga yang mampu milik dan keluasan hartanah. Puncak Alam dan Dengkil menyaksikan permintaan tinggi untuk rumah teres berharga di antara RM500,000 hingga RM750,000 (1,500 – 2,000 kaki persegi), manakala minat terhadap hartanah di Semenyih dan Sungai Long pula didorong oleh saiz rumah teres yang lebih luas (2,000 – 3,000 kaki persegi).
Setia Alam mengalami pertumbuhan permintaan +41%, kebanyakannya disebabkan oleh permintaan di kalangan pekerja kilang pembuatan berasaskan getah utama yang mencari penginapan bangunan tinggi mampu milik di kawasan itu, serta pencari hartanah yang mencari rumah bertanah yang lebih premium (RM1 juta ke atas).
Pulau Pinang mendapat manfaat daripada peningkatan permintaan terhadap hartanah di sekitar hab perindustrian
Berbanding separuh pertama 2020, pertumbuhan permintaan hartanah kediaman sekunder di Pulau Pinang menunjukkan pemulihan daripada -6.5% kepada +23% tahun ke tahun kerana minat ke atas kawasan perindustrian seperti Batu Kawan dan Bayan Lepas, yang menempatkan banyak syarikat pengilangan teknologi. Di tanah besar, hartanah bertanah yang murah mencatatkan harga permintaan yang lebih tinggi di antara RM300,000 hingga RM500,000. Kawasan-kawasan ini termasuklah Juru, Nibong Tebal, dan Seberang Jaya.
Manakala, populariti hartanah bangunan tinggi di pulau itu yang berharga di antara RM300,000 hingga RM500,000 (700 – 1,000 kaki persegi) semakin meningkat. Menariknya, Bukit Jambul menyaksikan lonjakan dari segi jumlah pengunjung yang mencari kondominium berharga RM1 juta ke atas.
Permintaan tempatan yang kukuh merancakkan semula pasaran kediaman sekunder di Johor
Pada separuh pertama 2021, pasaran hartanah kediaman sekunder di Johor mengalami pertumbuhan positif +36.5% daripada -22.8% pada separuh pertama 2020. Peningkatan ini kebanyakan datang daripada pencari hartanah tempatan kerana permintaan daripada warga asing terutamanya dari Singapura, kekal rendah memandangkan pintu sempadan masih lagi ditutup. Rumah bertanah kekal menjadi jenis hartanah pilihan di Johor, dengan rumah teres berharga di antara RM300,000 hingga RM500,000 (1,500 – 2,000 kaki persegi) menjadi pilihan utama.
Batu Pahat dan Pasir Gudang menjadi kawasan yang mendapat permintaan tertinggi di Johor. Pasir Gudang mengalami pertumbuhan +9.61% dari segi harga permintaan kerana reputasinya sebagai hab perindustrian Johor. Manakala, harga permintaan di Iskandar Puteri, Johor Bahru dan Gelang Patah telah merosot. Namun begitu, masih terdapat minat yang banyak untuk hartanah bertanah yang luas di Iskandar Puteri yang berharga sehingga RM1 juta (>2,000 kaki persegi).
Anda boleh memuat turun salinan iProperty.com.my H1 2021 Portal Demand Analytics (Subsale Residential market) di sini.
***
Mengenai iProperty.com.my
iProperty.com.my berpangkalan di Kuala Lumpur, Malaysia dengan bilangan pekerjanya melebihi 200 orang. iProperty.com.my merupakan portal hartanah di Malaysia yang menawarkan carian dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia. iProperty.com.my juga menawarkan aplikasi penyelesaian kepada konsumer seperti LoanCare, penunjuk kelayakan pinjaman perumahan; saluran News & Lifestyle dengan pelbagai kandungan berkaitan hartanah yang bermanfaat kepada pengguna; acara-acara yang menghubungkan pembeli hartanah dengan ejen dan pemaju; dan banyak lagi. iProperty.com.my adalah sebahagian daripada PropertyGuru Group, syarikat teknologi hartanah terkemuka di Asia Tenggara.1
Untuk berita berkaitan iProperty.com.my, layari www.iproperty.com.my/newsroom dan ketahui permintaan dan trend hartanah kediaman, perkembangan teknologi dan produk serta banyak lagi.
________________
1Dari segi perkongsian penglibatan pasaran relatif berdasarkan data dari SimilarWeb.